Perutusan Pengerusi
antarabangsa di mana Malaysia menjadi anggotanya. Suruhanjaya akan giat meneruskan fungsi
memantau atau menyiasat, serta mempromosi dan menasihati Kerajaan bagi memastikan
kelompok ini tidak dipinggirkan masyarakat. Malah, menyentuh hak OA, Suruhanjaya sedang
dalam proses menyiapkan laporan Inkuiri Nasional untuk diterbitkan pada tahun 2013, yang
mengandungi beberapa cadangan dan syor bagi menyelesaikan isu hak tanah golongan ini.
Satu isu yang telah menimbulkan persepsi negatif terhadap negara ialah pemerdagangan
orang. Suruhanjaya menyedari kerumitan kedua-dua masalah pekerja migran tanpa izin dan
pemerdagangan orang yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan aktor. Suruhanjaya
menghargai usaha Kerajaan menangani masalah melalui pendekatan perundangan, dan
membangunkan pelan strategik nasional dan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan.
Ia berharap lebih banyak usaha akan dilakukan bagi menangani jenayah pemerdagangan dan
eksploitasi manusia dengan lebih berkesan, dan bagi menjamin hak asasi mangsa agar tidak
dicabuli.
Suruhanjaya juga berharap akan ada kemajuan dalam isu hak untuk hidup dan usaha
memansuhkan hukuman mati di Malaysia. Melihat kepada sokongan atau penerimaan yang
jelas dan berterusan orang ramai terhadap hukuman mati kesan daripada publisiti meluas
mengenai jenayah kejam, ia adalah satu isu yang sukar dan kompleks untuk ditangani.
Suruhanjaya gembira dengan hasrat Kerajaan mengkaji semula perkara itu secara serius,
bermula dengan kajian semula hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.
Diharapkan kajian semula, dan diikuti dengan pemansuhan hukuman ini atas kesalahan
mengedar dadah, akan membenarkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicara untuk
menentukan bentuk hukuman yang sesuai dan akhirnya meletakkan Malaysia dalam kalangan
majoriti negara-anggota PBB yang telah memansuhkan hukuman mati.
Perhubungan antara perniagaan dan hak asasi manusia semakin jelas dewasa ini,
memandangkan kegiatan perniagaan boleh meninggalkan kesan negatif ke atas hak pekerja
dan pengguna. Suruhanjaya mula mendekati sektor korporat bagi menyedarkan mereka
mengenai isu serta peranan dan tanggungjawab mereka sebagai majikan yang prihatin dan
bertanggungjawab dalam rangka kerja yang melebihi rangkuman Tanggungjawab Sosial
Korporat (CSR). Ini akan menjadi satu bidang yang amat penting apabila Malaysia mencapai
negara maju sepenuhnya di mana sektor perniagaan memainkan peranan yang lebih dominan.
Adalah diharapkan CSR akan berkembang daripada program yang berbentuk kebajikan kepada
program berbentuk hak.
Komitmen Antarabangsa
Adalah amat dikesali bahawa setelah sekian lama Malaysia masih belum menyertai enam
instrumen teras hak asasi manusia yang selebihnya. Ia hanya meratifikasi Konvensyen
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, Konvensyen mengenai Hak
Kanak-kanak dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya - walaupun terdapat beberapa
reservasi. Ini meletakkan Malaysia dalam kelompok negara tercorot yang meratifikasi atau
menyertai, maksimum, hanya tiga instrumen teras antarabangsa sahaja. Kerajaan pada
awalnya mempunyai alasan yang baik dan munasabah atas ketidakupayaan melengkapkan
proses penyertaan, dengan alasan lebih banyak masa diperlukan untuk mengubah undang3