Perutusan Pengerusi Kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat adalah antara kebebasan asas -dan merupakan prasyarat penting dalam sesuatu masyarakat bebas dan demokratik -yang menjadi tanggungjawab negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempertahankannya. Sehubungan itu, Suruhanjaya gembira dengan tindakan Kerajaan mengkaji semula dasar penapisan media dan meminda keperluan memperbaharui lesen tahunan bagi media cetak. Perubahan ini diharap dapat menangani isu utama sekatan kebebasan bersuara, dan bukannya sekadar perubahan luaran sahaja. Suruhanjaya juga gembira dengan kelonggaran sekatan ke atas kebebasan bersuara dan aktivis pelajar di kampus, sekaligus mewujudkan ruang yang lebih demokratik kepada golongan muda. Situasi ini memacu Malaysia ke hadapan agar seiring dengan amalan antarabangsa. Berkait rapat dengan perkara ini adalah kebebasan berhimpun, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan UDHR. Malangnya, hak ini masih belum berkembang maju dalam negara. Oleh sebab Kerajaan menitikberatkan isu keamanan dan keselamatan negara sejak kemerdekaan, kebanyakan undang-undang negara adalah berorientasikan keselamatan; dan ini telah menjadi punca utama pertelingkahan antara pihak berkuasa dan orang awam yang ingin lebih bebas mengamalkan hak mereka. Di sebalik pemansuhan seksyen khusus Akta Polis dan pelulusan undang-undang yang mengenepikan keperluan mendapatkan permit polis untuk berhimpun secara aman, masih ada kebimbangan bahawa kuasa budi bicara yang diberikan kepada polis dan sekatan lain yang terkandung dalam undang-undang baru akan menyekat, bukannya membantu penganjuran perhimpunan aman. Suruhanjaya mengharapkan agar undang-undang baru dapat diperhalusi agar mematuhi sepenuhnya piawaian hak asasi manusia antarabangsa dan untuk sementara waktu, pihak berkuasa dapat membantu dan bukannya menghalang pelaksanaan hak sejagat ini. Dalam masa yang sama, rakyat juga perlu melaksanakan hak ini secara bertanggungjawab. Ekoran daripada perkara ini, peranan polis dalam menangani perhimpunan aman telah mengundang persepsi negatif di kalangan orang awam. Walaupun peranan utama polis dalam mengekalkan ketenteraman dan keamanan awam tidak dipertikaikan dan secara umumnya dihargai masyarakat, sebahagian pendekatan dan prosedur dalam melaksanakan tugas mereka telah menimbulkan persoalan. Suruhanjaya berpendapat isu persepsi ke atas polis perlu ditangani bagi memupuk keyakinan orang ramai terhadap polis sebagai badan penguatkuasa profesional, dan perlunya badan tersebut mencontohi amalan terbaik dunia. Salah satu hak asasi manusia yang diperuntukkan adalah hak kebebasan beragama. Walaupun hak ini dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan secara umumnya diperakui, malangnya, dalam beberapa keadaan tertentu, hak ini telah dihalang daripada diamalkan. Keadaan ini tidak memberikan gambaran baik ke atas Malaysia yang berbangga sebagai negara yang bertoleransi terhadap kepelbagaian budaya dan agama rakyatnya. Perkara ini agak membimbangkan Suruhanjaya yang telah dan akan terus berperanan sebagai perantara, sekiranya perlu, bagi memastikan hak asasi terus dipatuhi. Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah memberikan perhatian khusus kepada hak golongan rentan, termasuklah wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, dan Orang Asal/Asli (OA). Dalam mempergiatkan promosi dan perlindungan hak golongan ini, Suruhanjaya akan terus menggesa Kerajaan untuk mematuhi sepenuhnya prinsip dan norma konvensyen atau instrumen 2

اختر الفقرة المستهدفة3